Keadaan di Taman Desaru Utama, Kota Tinggi yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi ketika tinjauan pada 24 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor terus menurun, Pahang dan Sabah kekal

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan manakala di Pahang dan Sabah kekal setakat 4 petang ini.

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,157 orang berbanding 2,757 orang pada 8 pagi tadi berikutan banjir di daerah Tangkak dan Kluang surut sepenuhnya.

Sehubungan itu, menurut JPBN sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup menjadikan keseluruhan 23 PPS yang masih aktif setakat ini.

Batu Pahat masih mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 895 orang, diikuti Mersing (830), Kota Tinggi (340) dan Segamat (92).

Berdasarkan ramalan cuaca, Pontian dan Kluang dijangka hujan manakala lapan daerah lain mendung.

Sementara itu, Sungai Endau di Mersing yang masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 2.35 meter, kini berada pada trend penurunan.

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin petang ini masih kekal 219 orang daripada 70 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

Seramai 171 mangsa ditempatkan di PPS Kampung Setajam, manakala PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Denai dan PPS Balai Raya Kampung Jawa masing-masing menempatkan 27 dan 21 mangsa.

Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan, namun masih melebihi paras bahaya.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di negeri ini jugs tidak berubah dan dijangka kekal hari ini dengan 1,211 orang daripada 471 keluarga dipindahkan ke empat PPS di tiga daerah.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan Pitas mencatat jumlah mangsa paling tinggi iaitu 1,152 orang daripada 450 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Ia diikuti Lahad Datu 46 orang daripada 12 keluarga di satu PPS, dan di Paitan seramai 13 orang daripada sembilan keluarga juga di satu PPS.

– BERNAMA


Pengarang :