Mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kini Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato’ Johary Anuar bergambar bersama Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Zulkurnain Che Ali dan Ahli Majlis selepas Mesyuarat Penuh MBSJ bagi Januari 2023 di Ibu Pejabat MBSJ Subang Jaya pada 31 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPBT

Mantan datuk bandar MBSJ dilantik timbalan setiausaha Kerajaan Negeri

SUBANG JAYA, 31 JAN: Mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dilantik Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) berkuat kuasa semalam.

Dato’ Johary Anuar berharap segala perancangan menjadikan bandar raya Subang Jaya terkenal di peta dunia akan terlaksana pada masa akan datang.

“Saya harap segala usaha dan rancangan untuk menjadikan MBSJ sebagai pihak berkuasa tempatan yang paling ke hadapan dan bandar raya Subang Jaya terkenal di peta dunia dapat direalisasi pada masa akan datang.

“Saya percaya dengan pertukaran tampuk kepimpinan baharu kelak pasti dapat memberi kesan yang lebih berganda dan membina,” katanya ketika berucap selepas Mesyuarat Penuh MBSJ Bil.1/2023 di ibu pejabat di sini hari ini.

Dato’ Johary Anuar. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada masa sama, Johary turut menghargai komitmen warga kerja MBSJ walaupun baharu setahun berkhidmat di pihak berkuasa tempatan terbabit.

“Dalam tempoh setahun saya di sini mungkin agak sukar untuk mengenali lebih 1,600 warga kerja MBSJ tetapi saya berterima kasih kepada semua yang banyak membantu melaksanakan pelbagai perancangan.

“Saya mohon maaf kerana banyak perkara yang dirancang tidak sempat dilaksana tetapi saya percaya tiada yang mustahil dengan iltizam dan kerjasama semua pihak mungkin ia dapat direalisasi kelak,” katanya.

Johary, 49, mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Subang Jaya pada 3 Februari 2022 menggantikan Noraini Roslan kini Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang.

Johary pernah bertugas sebagai penolong pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2000 diikuti ketua penolong pengarah seksyen maklumat tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (2007) serta pengurus kanan sumber manusia Lembaga Tabung Haji (2009).

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai ketua penolong pengarah JPA pada 2010, timbalan pengarah pejabat Kerajaan Negeri Selangor (2012), setiausaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (2015) dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Petaling (2020).


Pengarang :