Tong minyak petrol yang dirampas Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di utara Pulau Indah, Klang pada 16 Januari 2023. Foto Facebook Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia
AGENSI SELANGOR

Maritim Selangor tahan bot penumpang bawa petrol tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 17 JAN: Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot penumpang kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran disyaki minyak petrol di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Indah, Klang, 11.45 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim V Siva Kumar berkata hasil pemeriksaan awal mendapati ia didaftarkan untuk membawa penumpang dan dikendalikan oleh dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 46 dan 49 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 26 tong jenis jerry can’mengandungi 640 liter cecair disyaki minyak petrol dianggarkan berharga RM 1,312 yang diletakkan di bahagian belakang bot tersebut.

“Siasatan awal ke atas kru bot mendapati, mereka membeli minyak dari stesen minyak di Pelabuhan Klang dan ingin menuju ke Pulau Ketam. Kesemua barangan berserta bot dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Siva Kumar berkata kes berkenaan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen bot dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran.

-BERNAMA


Pengarang :