Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi (dua, kiri) menunjukkan barang rampasan kes letupan yang mengorbankan pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, 29 Disember lepas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 7 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAHNASIONAL

Masalah peribadi dipercayai punca kejadian kes letupan di Pandan Indah

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Kes letupan yang mengorbankan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, 29 Disember lepas dipercayai berpunca daripada masalah peribadi antara mangsa dan suspek.

Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata mangsa dan kedua-dua suspek yang berumur 33 dan 30 tahun merupakan kenalan sejak dari kampung di Kedah, dengan si suami bekerja sebagai kontraktor manakala isterinya suri rumah.

Bagaimanapun Sasikala enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kejadian itu bermotifkan cemburu.

“Setakat ini polis telah pun selesai mengambil keterangan seramai 36 saksi bagi membantu siasatan kes dan setakat ini tiada tangkapan susulan dibuat. Proses soal siasat terhadap pasangan suami isteri ini masih dijalankan.

“Serbuan juga telah dilakukan di rumah mereka di Serdang, Kedah pada Khamis lepas dan polis berjaya merampas beberapa barang kes antaranya pisau pemotong kertas dan mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kedua-dua supek ditahan Rabu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes berkenaan.

Dalam kejadian itu lelaki tempatan berusia 28 tahun maut akibat parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.

– BERNAMA


Pengarang :