Pemain beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah menewaskan pasangan Singapura Yujia Jin-Crystal Wong 21-8 21-13 dalam kejohanan Indonesia Masters pada 24 Januari 2023. Foto Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
AGENDASUKANKINI

Masters Indonesia: Pearly-Thinaah mula langkah kanan atasi gandingan Singapura

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah memulakan kempen Kejohanan  Masters Indonesia dengan langkah kanan apabila menang mudah ke atas gandingan Singapura, Yujian Jin-Crystal Wong Jia Ying, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, itu menyaksikan pilihan keenam kejohanan itu hanya mengambil masa 27 minit untuk merakamkan kemenangan straight set, 21-8, 21-13.

Juara Sukan Komanwel 2022 itu dijadual bertemu sama ada rakan sepasukan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien atau gandingan Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun yang membuat perhitungan dalam satu lagi perlawanan untuk ke pusingan kedua.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan India, Krishna Prasad Garaga-Visnuvardhan Goud Panjala, 21-17, 21-9.

Pasangan ranking ke-40 dunia itu bakal bertemu gandingan Jepun, Keiirchiro Matsui-Yoshinori Takeuchi yang mengetepikan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Shin Baek Cheol, dalam satu lagi perhitungan hari ini.

Beregu persendirian lelaki negara, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci turut berjaya menumpaskan gandingan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura, 21-15, 21-19 dalam pusingan kelayakan untuk ke pusingan pertama bertemu beregu senegara dan juara dunia, Aaron Chia- Soh Wooi Yik, esok.

Bagi perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei turut memulakan kempen kelayakan dengan kemenangan apabila menundukkan pemain Jepun, Koki Watanabe, 21-19, 7-21, 21-17 dan pemain India, B. Sai Praneeth 21-18, 21-19.

Pemain berusia 26 tahun itu bakal bertemu pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Ling Angus pada pusingan pertama, esok.

— BERNAMA


Pengarang :