Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai pada kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood pada 11 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Amalan ekstrem, politik kebencian tiada tempat di Selangor

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Selangor menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan ekstremisme dan politik kebencian yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya bertanggungjawab memastikan perpaduan kaum di Selangor tidak musnah akibat keganasan politik.

“Kita telah melihat bagaimana beberapa platform media sosial dicemari agenda ekstremisme bagi mendapatkan sokongan ketika pilihan raya umum ke-15 lalu. Ekstremisme dan politik kebencian tidak ada tempat di bumi Selangor Darul Ehsan ini.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan fabrik sosial di Selangor ini tidak musnah dan hancur akibat politik ekstremisme kerana Selangor adalah cerminan kepada keadaan sosial di Malaysia,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2023 hari ini.

Beliau berkata rakyat Selangor juga harus bersama memelihara keharmonian, kesepaduan dan perpaduan yang dinikmati ketika ini.

“Berbekalkan semangat #KitaSelangor, kita semua dapat hidup dengan rukun dan tenteram, menikmati hasil negeri serta berlandaskan keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin menyeru rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun ini supaya gabungan berkenaan dapat meneruskan kecemerlangan dan kejayaan di Selangor.

“Sejak 2018, prestasi HARAPAN telah terbukti dalam mengekalkan kedudukan Selangor sebagai pasak dan tiang seri negara.

“Selain itu, Kerajaan Negeri yang ditunjangi HARAPAN menunjukkan contoh ataupun ‘leading the way’ dalam pengurusan pandemik Covid-19 berdasarkan fakta dan sains serta meneruskan agenda ‘Selangor Penyayang’ menerusi 48 program dan iltizam bagi kebajikan rakyat,” katanya lagi.


Pengarang :