Infrasel Sdn Bhd selesai menurap Jalan PT 1 Bagan Terap, Sabak Bernam sehari selepas menerima aduan pada 14 November 2022. Foto Foto Twitter Infrasel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Dana RM50 juta jaya projek turap, selenggara dan pelebaran jalan

SHAH ALAM, 16 JAN: Projek turapan jalan raya membabitkan peruntukan RM50 juta tahun ini akan bermula dalam masa terdekat melibatkan penyelenggaraan serta pelebaran jalan di bawah kelolaan negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia akan dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Ir Izham Hashim.

Selain itu, Amirudin berkata komitmen Kerajaan Negeri untuk membaik pulih, menyelenggara serta menaik taraf fasiliti kemudahan awam di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diteruskan menerusi Projek Selangor Penyayang Fasa 2.

“Ia menerusi peruntukan RM500,000 bagi setiap DUN bermula akhir Februari depan.

“Peruntukan ini juga melibatkan pembinaan sebuah Kompleks Komuniti Selangor Penyayang di setiap DUN,” katanya berhubung ketetapan yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

Sebelum ini, Izham memaklumkan kerja penurapan jalan besar-besaran di seluruh negeri akan dilaksanakan mulai Mac depan demi keselesaan pengguna.

Menurutnya projek dengan kos RM50 juta menerusi Belanjawan Selangor 2023 membabitkan semua jalan bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Amirudin sebelum ini menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi aplikasi Twitter dengan menghantar gambar, menulis aduan dan disertakan tanda pagar #infrasel #daerah #namajalan.

Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat menjalankan kerja baik pulih jalan dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan orang awam menerusi Twitter.


Pengarang :