Pelajar membaca ayat suci Al-Quran majlis khatam hafazan ketika Ijtimak Huffaz Selangor ke – 15 anjuran Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Galak pelajar tahfiz swasta duduki SPM, negeri tawar tuisyen percuma

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan Negeri menyediakan tuisyen percuma bagi membantu pelajar institusi tahfiz swasta yang berminat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Dato’ Menteri Besar berkata kelas percuma tersebut ditawarkan di setiap daerah menerusi Program Laluan Pantas (Fast Track) SPM Huffaz Selangor bagi menggalakkan golongan tersebut memiliki kelulusan SPM.

“Inisiatif ini menggalakkan pelajar institusi tahfiz persendirian yang telah menghafal sekurang-kurangnya 10 juzu’ al-Quran untuk memiliki kelulusan SPM agar ilmuwan Islam berpeluang menyertai lebih banyak institusi dan organisasi.

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan http://www.pitas.com.my sebelum tarikh tutup pada 28 Januari 2023. Semoga usaha ini dapat menyebarkan hikmah Al-Quran ke seluruh pelusuk negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Pelajar yang berminat juga boleh menghubungi Unit Pengajian Tinggi dan Sepanjang Hayat BPI di talian 03-5514 3400 sambungan 2035 atau WhatsApp 010-3437054.

Fast Track SPM Huffaz Selangor dianjurkan atas saranan Dato’ Menteri Besar untuk memberi peluang kepada pelajar terlibat menduduki SPM.

Mata pelajaran yang wajib diambil dalam program itu ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Sejarah, Bahasa Arab dan Tasawwuf Islam.

Foto Facebook Amirudin Shari

Pengarang :