Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang berjaya meraih pingat selepas majlis penyerahan insentif di Hotel Palm Garden, Putrajaya pada 13 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Hargai sumbangan bekas atlet para, negeri teliti cadangan beri insentif

PUTRAJAYA, 13 JAN: Kerajaan Selangor akan meneliti untuk memberi insentif kepada atlet kelainan upaya (OKU) negeri ini yang sudah bersara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini, ganjaran hanya diberikan kepada atlet para yang menghadiahkan pingat dalam temasya berprestij.

“Setakat ini kita tumpukan insentif berdasarkan pencapaian atlet (dalam temasya sukan). Keperluan (insentif) untuk bekas atlet kita ada yayasan pembangunan atlet atau yayasan kebajikan atlet.

“Mungkin hal ini kita kena lihat bersama selepas ini bagaimana nasib atlet para selepas bersara,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan insentif kepada atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Hotel Palm Garden di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Kerajaan Negeri menyerahkan insentif berjumlah RM228,500 atas kejayaan kontinjen Selangor merangkul 28 emas, 26 perak dan 24 gangsa.

Atlet yang meraih pingat pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 menerima insentif dalam majlis yang berlangsung di Hotel Palm Garden, Putrajaya pada 13 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengulas tawaran skim gaji kepada atlet berpotensi untuk menjalani latihan sepenuh masa, Amirudin berkata perkara itu bergantung kemampuan kewangan negeri.

“Apa yang berlaku dalam SUKMA lepas, atlet tidak dapat meneruskan latihan disebabkan pandemik Covid-19. Prestasi pasukan dalam SUKMA juga sedikit terganggu.

“Sudah pasti dari semasa ke semasa kita akan semak balik dan bergantung kepada keperluan bajet serta belanjawan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata tawaran skim gaji itu antara aspek dirancang supaya atlet menjalani latihan sepenuh masa.

Menurutnya, insentif itu dikhususkan untuk sukan yang menawarkan lebih 15 pingat emas antaranya olahraga, renang, menembak, wushu dan berbasikal.


Pengarang :