Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: LZS bantu golongan kurang mampu jalani rawatan, pembedahan segera

SHAH ALAM, 24 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu rakyat negeri ini yang bukan kategori asnaf untuk menjalani rawatan atau pembedahan segera tetapi berdepan masalah kewangan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM2.1 juta diagihkan agensi itu bagi meringankan beban pesakit kurang berkemampuan membiayai kos rawatan di hospital.

“Dana ini ditempatkan di Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) membabitkan 15 hospital serta institusi perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, inisiatif ini sangat bertepatan dengan matlamat Selangor sebagai negeri penyayang,” katanya menerusi Facebook.

LZS memulakan TKPH sejak 2008 bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Hospital terlibat adalah Hospital Shah Alam diikuti Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Manakala, turut terlibat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia diikuti Institut Jantung Negara, Hospital Kajang, Hospital Putrajaya, Hospital Rehabilitasi, Cheras; Hospital Kuala Kubu Bharu dan Pusat Perubatan UiTM.

 


Pengarang :