Peserta menghadiri program Wacana Membangun Malaysia Madani dan Amanat Perdana Menteri di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB mahu dasar bangun Malaysia madani didukung bersama rakyat

PUTRAJAYA, 19 JAN: Kerangka dasar Membangun Malaysia Madani harus didukung bersama rakyat demi pemulihan dan menyelamatkan negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata disebabkan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mahu wakil rakyat, menteri, kerajaan termasuk pembangkang menjayakannya.

“Ini menunjukkan usaha beliau untuk keterangkuman, menyeluruh bersama-sama bagi memulihkan negara dan menyelamatkan negara.

“Berulang kali disebutkan Perdana Menteri dalam memastikan reputasi negara, kedudukan kewangan negara dan juga budaya dalam negara kita dapat diperkemaskan dan diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata masyarakat madani atau Malaysia Madani bukan suatu yang baharu atau idealisme malah bukan juga satu tugu baharu untuk meninggalkan dasar-dasar yang lama.

“Yang lebih penting soal implementasi dari segi idealisme seorang pemimpin, dalam hal ini Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melontarkan pandangan mengenai masyarakat madani tidak lebih suku abad lalu.

“Apabila ditakdirkan beliau menjadi nakhoda kerajaan yang ada tentunya kerajaan diketuai beliau dan dokongan pelbagai parti harus memberikan penghayatan dan membuat susulan kepada pelaksanaan itu dan akhirnya kita lihat ia memberi kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri sudah meletakkan kerangka asas untuk membawa gerak kerja kerajaan perpaduan ke hadapan selain satu misi untuk rakyat Malaysia.

Katanya, dengan amanat Perdana Menteri itu ia memerlukan usaha bukan sahaja dalam kalangan jemaah menteri tapi juga rakyat.


Pengarang :