Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta silambam sempena Pesta Ponggal Perpaduan di Dewan Indian Settlement, Batu Caves, Gombak pada 24 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Naik taraf infrastruktur Kampung Indian Settlement mula Mac

GOMBAK, 25 JAN: Kampung Indian Settlement Batu Caves di sini bakal berubah wajah apabila kerja menaik taraf infrastruktur akan bermula pada Mac.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahbaikan itu meliputi laluan jalan dan pemasangan lampu jalan dengan kos RM5.9 juta.

“Saya sudah lihat prosesnya, insya-Allah bulan tiga akan bermula (kerja naik taraf) dan ambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk selesai.

“Ini semua akan dimanfaatkan penduduk yang tinggal di sini sejak zaman sebelum merdeka memandangkan kebanyakan mereka bekerja di Tanah Melayu dan dapat penempatan di sini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Pesta Ponggal Perpaduan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dewan Indian Settlement di sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Dato’ Mohd Yazid Sairi dan Pengerusi Persatuan Penduduk Indian Settlement, Batu Caves V Subramaniam.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerja terbabit turut melibatkan penyusunan semula lebih 70 lot tanah yang tidak selesai sejak 2009.

Susulan itu, beliau berkata sebanyak 26 keluarga yang tinggal berhampiran sungai akan dipindahkan ke Batu Arang, Rawang selepas mendapat tawaran tanah tahun lalu.

“(Sebelum ini) pernah ada penyusunan sebelum 2009 tetapi hanya sebahagian dan sekarang kita mahu lengkapkan prasarana. Kelewatan berlaku atas faktor kita mahu alihkan 26 keluarga (ke Batu Arang).

“Jadi, kita mohon mereka berpindah dan selepas itu baru kita boleh alihkan jalan. Kalau mereka tidak bekerjasama maka tidak boleh (buat kerja naik taraf).


Pengarang :