AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa penduduk meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina esok

SHAH ALAM, 27 JAN: Dato’ Menteri Besar menjemput orang ramai memeriahkan rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina di Dataran Kemerdekaan Shah Alam esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata acara berlangsung dari jam 3.30 petang hingga 10.30 malam melibatkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, bazar seni dan jamuan makan malam.

“Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 28 Januari (Sabtu) bermula jam 3.30 petang sehingga 10.30 malam, bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Ayuh semua dijemput hadir memeriahkan,” tulisnya di Twitter.

Pada 16 Januari lalu, EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya menyasarkan kehadiran 10,000 tetamu ke sambutan itu.

Program bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’ menampilkan persembahan kebudayaan membabitkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh bermula 7 malam.

Persembahan itu dianjurkan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam dan hanya melibatkan kira-kira 1,200 tetamu jemputan selain turut menyediakan layar di dataran untuk menghiburkan tetamu awam.

Lebih menarik, sambutan kali ini turut menawarkan angpau berjumlah RM10,000 kepada tetamu selain cabutan bertuah barangan elektrik bernilai keseluruhan RM3,000.

Dijangkakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis ini.


Pengarang :