Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program Wacana Membangun Malaysia Madani dan Amanat Perdana Menteri di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pembentukan insan elemen penting realisasi hasrat bangun negara madani

PUTRAJAYA, 19 JAN: Pembentukan negara madani bukan hanya diukur daripada persekitaran tetapi ia berkait rapat dengan soal pembentukan insan, kata Dato’ Menteri Besar.

Berucap dalam sesi Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan pembentukan insan akan menjamin kelestarian dan kemampanan sesebuah negara.

“Cita-cita untuk mewujudkan kerajaan madani atau Malaysia Madani bukan hanya diukur daripada apa yang berlaku di persekitaran tetapi kepada pembentukan insan.

“Inilah yang sebenarnya akan menjamin kelestarian dan kemampanan kerana kita bukan melahirkan hanya sistem yang mengekang, melihat, memerhati atau meneropong tetapi juga manusia yang membentuk dan menjalankan sistem keperibadian,” katanya.

Sebahagian peserta program Wacana Membangun Malaysia Madani dan Amanat Perdana Menteri di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata pembangunan dasar dan polisi tidak boleh hanya melihat kepada kelompok tertentu sebaliknya harus mencakupi aspek lebih manusiawi.

“Sebab itu pembangunan dasar dan polisi itu tidak boleh hanya melihat kepada jabatan atau kelompok (tertentu) sebaliknya harus sampai ke dalam hati manusia.

“Disebabkan itu bila disebut madani harus melihat aspek yang terkandung dalam falsafah dan pemikiran, sesuatu yang disebut tamadun dan peradaban yang menunjukkan makna terperinci dan akhirnya akan kembali kepada insan dan manusia.

“Sebagai contoh, apabila kita melihat kenyataan tamadun peradaban sudah pasti akan merujuk kepada adab yang biasanya merujuk kepada tingkah laku sedangkan penelitian keinsanan apa yang dipamerkan itu tidak jelas daripada hati,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik peluncuran buku Membangun Malaysia Madani selepas menyampaikan amanat di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Wacana sempena Majlis Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan meneroka tonggak dasar madani yang memberi kefahaman lebih tuntas dalam kerangka pemikiran; falsafah; etika dan tindakan dalam membangun Malaysia Madani.

Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan buku ‘Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’ dengan 215 halaman, terbitan Institut Darul Ehsan antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan Presiden Parti Keadilan selama empat dekad sejak bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.


Pengarang :