Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat naskhah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang dijual di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Pembukaan kedai buku IBDE galak budaya baca karya terjemahan

PETALING JAYA, 7 JAN: Pembukaan kedai buku milik Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mampu menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kedai Buku Rencana di Sri Damansara juga dapat mengembangkan pemahaman masyarakat menerusi penjualan karya terjemahan antarabangsa.

“Inisiatif IBDE ini merupakan perkembangan sihat dan dalam masa sama memberi liputan sangat baik kepada beberapa karya yang diterbitkan.

“Diharap pembukaan ini akan memperkemas dan menggalakkan budaya membaca. IBDE menerbitkan banyak buku dan sebelum ini hanya aktif di jualan pesta buku namun tetap mendapat sambutan ramai,” katanya ketika menghadiri majlis peluncuran kedai tersebut hari ini.

Meminati buku berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dan Melayu Agung Jose Rizal, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bakal meneruskan beberapa lagi projek terjemahan naskhah antarabangsa tahun ini.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi (tengah) dan Ketua Pengarang IBDE Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (kanan) menunjukkan naskhah yang dijual di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi berkata pembukaan kedai berkenaan merupakan impian pihaknya sejak sekian lama.

“Kita jual lebih 100 buku dengan hampir 60 naskhah terbitan sendiri. Setiap tahun kita buat siri pencerahan dan buku semakin banyak malah ramai pembaca minta buka kedai untuk mudahkan mereka membeli.

“Dalam perancangan, kita adakan program bedah buku di kedai ini setiap bulan. Beberapa penterjemah buku IBDE akan dipanggil berkongsi pandangan,” katanya.


Pengarang :