Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan baucar Jom Shopping kepada peserta sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Gombak pada 23 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Persiapan Tahun Baharu Cina, lebih RM2 juta dibelanja bantu keluarga B40

PETALING JAYA, 8 JAN: Lebih RM2 juta diperuntuk kepada keluarga berpendapatan rendah sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan menerusi program Jom Shopping itu membolehkan penerima mendapat baucar beli-belah berjumlah RM200.

“Agihan sudah dibuat dengan setiap Dewan Undangan Negeri menerima antara 300 hingga 400 baucar. Ini merupakan acara tahunan untuk bantu mereka yang memerlukan.

“Sebelum ini, setiap kali perayaan utama memang Kerajaan Negeri peruntuk RM2 juta hingga RM3 juta dan setahun lebih RM9 juta diagihkan,” katanya ditemui pada majlis peluncuran Kedai Buku Rencana Inisiatif Buku Darul Ehsan hari ini.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program merupakan bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk menyediakan kelengkapan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :