Kanak-kanak istimewa mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pusat prasekolah anak istimewa diperluas ke luar bandar

SHAH ALAM, 27 JAN: Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang diwujudkan awal tahun ini bakal dibina ke kawasan luar bandar antaranya Rawang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif khas tanpa bayaran yuran itu bertujuan menjadikan Selangor sebagai negeri yang mesra dan sejahtera untuk didiami semua lapisan masyarakat.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pusat jagaan harian orang kelainan upaya (OKU) itu menerima kanak-kanak kategori lewat perkembangan (GDD), sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) yang lahir di Selangor berusia lima hingga enam tahun.

“Baru-baru ini, Pusat Prasekolah ANIS secara rasmi dilancarkan untuk membantu kanak-kanak istimewa menerima peluang dan kemudahan pendidikan khas yang seiring dengan perkembangan murid.

“Selangor adalah satu-satunya negeri yang mempunyai ekosistem pendidikan khas buat anak istimewa,” katanya di Facebook.

Pada 12 Januari, Amirudin melancarkan Pusat Prasekolah ANIS pertama yang ditubuhkan di Seksyen 7 di sini bernilai RM1.25 juta.

Dibina atas tanah seluas 42.7 kaki per segi dengan keluasan bangunan 4123.75 kaki persegi, pusat itu dilengkapi tiga kelas, ruang makan, surau, dapur, dua bilik guru dan pentadbiran, dua stor serta tandas untuk OKU.

Bangunan setingkat dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut mempunyai kawasan lapang yang sesuai bagi aktiviti luar kepada kanak-kanak selain taman permainan.


Pengarang :