AGENDANASIONAL

MB rakam takziah pemergian mantan wakil rakyat Meru

SHAH ALAM, 23 JAN: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mantan wakil rakyat Meru Dr Abd Rani Osman yang meninggal dunia pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendoakan semoga roh Allahyarham yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dicucuri rahmat selain diampunkan segala dosa.

“Inalillahwainailaihirajiun. Salam takziah kepada keluarga dan sahabat Allahyarham Dr Abd Rani Osman, mantan Pesuruhjaya Pas Selangor dan mantan ADN (Ahli Dewan Negeri) Meru di atas pemergian Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama orang beriman,” tulisnya di Twitter.

Berdasarkan kemaskini di Facebook Pas Selangor sebentar tadi, Abd Rani, 65, dilapor meninggal dunia jam 5 pagi di Hospital Banting.

Allahyarham menjadi ADN Meru dari 2008 hingga 2018 sebelum menyandang jawatan Pesuruhjaya Pas pada 2011 hingga 2013.

Sebelum menyertai politik, beliau merupakan seorang doktor perubatan dan mempunyai sebuah klinik swasta di Pekan Meru.

Beliau meninggalkan isteri, Afidah Anum dan lima anak.


Pengarang :