Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni masyarat Tionghoa pada rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB santuni ribuan warga Tionghoa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Shah Alam

SHAH ALAM, 28 JAN: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa menyantuni ribuan masyarakat Tionghoa di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini petang tadi.

Ketibaan Dato’ Seri Amirudin Shari disambut orang ramai yang berkumpul sejak 3 petang bagi memeriahkan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina peringkat Selangor malam ini.

Beliau yang ditemui berkata penganjuran rumah terbuka kali ini lebih meriah kerana memberi peluang kepada rakyat berhimpun sambil menikmati jamuan dan menonton persembahan.

“Pengalaman semasa pandemik Covid-19, sambutan Tahun Baharu Cina bertumpu kepada persembahan secara langsung sahaja tetapi kali ini kita gabungkan dengan jamuan yang akan dihidangkan mulai jam 7.30 malam.

“Di sini rakyat boleh bersantai, malah dari petang kita libatkan ramai orang termasuk mengetengahkan kebudayaan masyarakat Tionghoa sebelum acara kemuncak malam ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) melihat pameran kaligrafi pada rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam lawatan kira-kira 30 minit, beliau bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad melawat beberapa gerai jualan selain meninjau aktiviti mewarna kanak-kanak dan pameran kaligrafi Cina.

Amirudin juga sempat menyaksikan persembahan tarian singa selain berswafoto dengan orang awam sebelum beredar.

Bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’, acara itu bakal menampilkan persembahan kebudayaan membabitkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh bermula 7 malam.

Dianjur di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam dengan hanya melibatkan kira-kira 1,200 tetamu jemputan, orang awam bagaimanapun berpeluang menyaksikannya melalui layar yang disediakan di dataran terbabit.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijangka berkenan berangkat ke majlis itu.


Pengarang :