Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan simbolik penyerahan 30 unit bot kembung kepada wakil pejabat tanah dan daerah, pihak berkuasa tempatan serta polis sempena majlis amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB serah bot kepada PBT, polis dan bomba sebagai persediaan banjir

SHAH ALAM, 11 JAN: Dato’ Menteri Besar menyerahkan 30 bot kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah dan tanah (PDT) hari ini sebagai persediaan menghadapi banjir.

Setiausaha bahagian (khidmat pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata turut menerima aset berkenaan ialah polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Unit Pengurusan Bencana Negeri.

“Inisiatif melibatkan peruntukan berjumlah RM270,000. Harap sumbangan ini dapat membantu semua agensi melakukan tugasan ketika banjir,” kata Muhammad Hanafi Ahmad kepada SelangorKini.

Terdahulu Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan terbabit kepada wakil agensi di lobi Dewan Jubli Perak sebelum Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bermula.

Pada Oktober tahun lalu, syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd (KUSEL) turut menyumbang peralatan operasi musim banjir kepada PBT dan PDT.

Sumbangan meliputi 14 unit penjana kuasa elektrik mudah alih, 14 unit jet pembersih dan bot keselamatan bagi melancarkan operasi menyelamat.


Pengarang :