Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membantu menyerahkan barangan keperluan kepada pelanggan ketika program jualan perihatin rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 13 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Terus beri mandat kepada HARAPAN demi kestabilan, kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 1 JAN: Dato’ Menteri Besar berharap Pakatan Harapan (HARAPAN) terus diberi mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun ini demi kestabilan dan kebajikan rakyat.

Menjelaskan prestasi cemerlang gabungan itu sejak 2018, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menjadi contoh dalam pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini, berdasarkan fakta dan sains.

Malah katanya Kerajaan Negeri meneruskan agenda ‘Selangor Penyayang’ menerusi pengenalan 48 program kebajikan yang memanfaatkan rakyat.

Orang ramai menunggu giliran untuk membuat saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor pada 7 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“PRN Selangor yang akan dilaksanakan pada 2023 semestinya menjadi topik tak terelakkan. Sebagai tunjang HARAPAN, adalah diharapkan rakyat dapat memberikan mandat kepada HARAPAN untuk meneruskan kecemerlangan dan kejayaan di bumi Darul Ehsan.

“Sejak 2018, prestasi HARAPAN telah terbukti dalam mengekalkan kedudukan Selangor sebagai pasak dan tiang seri negara,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2023 hari ini.

Amirudin berkata HARAPAN juga membuktikan keupayaan mentadbir Selangor dengan stabil dan integriti berbekalkan tekad membangun sebuah negeri yang makmur, rencam serta sentosa.

“Kerencaman masyarakat di Selangor yang unik ini memerlukan satu pentadbiran peka dan prihatin kepada keperluan rakyat sekali gus tidak mengamalkan ekstremisme,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu orang ramai pada kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood pada 11 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Selangor menentang sekeras-kerasnya sebarang aktiviti ekstremisme dan politik kebencian yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat negeri itu.

“Kita telah melihat bagaimana beberapa platform media sosial dicemari agenda ekstremisme bagi mendapatkan sokongan ketika pilihan raya umum ke-15 lalu. Ekstremisme dan politik kebencian tidak ada tempat di bumi Selangor Darul Ehsan ini.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan fabrik sosial di Selangor ini tidak musnah dan hancur akibat politik ekstremisme kerana Selangor adalah cerminan kepada keadaan sosial di Malaysia,” katanya lagi.


Pengarang :