Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad mengunjungi rumah masyarakat Tionghoa sempena Tahun Baru Cina di Taman Sri Gombak, Gombak pada 24 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB zahir bangga semangat perpaduan rakyat, seru bersama kekalkan kesejahteraan

GOMBAK, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan rasa bangga dan gembira atas semangat perpaduan yang ditonjolkan rakyat negeri ini.

Beliau yang ditemui selepas mengunjungi rumah masyarakat Tionghoa sekitar Parlimen Gombak sempena Tahun Baharu Cina berkata semangat perpaduan seperti ini harus dikekalkan untuk kesejahteraan sejagat.

“Saya rasa sangat gembira. Hari ini tuan rumah ambil inisiatif memakai baju Melayu walaupun sambutan Tahun Baharu Cina malah tetamu yang datang juga berbilang bangsa.

“Hubungan yang sangat baik ini, saya dapat melihat semua bekerjasama, sangat ramah antara satu sama lain. Semangat perpaduan ini kita harus kekalkan untuk kesejahteraan dan kebahagiaan negeri,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengunjungi rumah masyarakat Tionghoa sempena Tahun Baru Cina di Taman Sri Gombak, Gombak pada 24 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata tradisi menziarahi masyarakat Tionghoa setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina memang menjadi amalan tahunannya.

“Ini adalah program tahunan saya sejak saya jadi Ahli Dewan Negeri di kawasan Sungai Tua dan Batu Caves iaitu mengunjungi rumah sahabat, rakan penggerak utama dan pimpinan akar umbi bangsa Tionghoa (sempena Tahun Baharu Cina).

“Saya gembira sebab kunjungan ini juga dihadiri oleh rakan-rakan mereka, ahli keluarga dan juga pimpinan lain.

“Jadi ia merapatkan hubungan di antara saya, pimpinan akar umbi dan sekaligus menghargai sumbangan mereka selama ini kepada kejayaan dan juga usaha kita dalam mentadbir dan menguruskan negeri Selangor bersama-sama,” katanya.

Amirudin bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad hari ini meluangkan masa menyantuni masyarakat Tionghoa sekitar Parlimen Gombak menerusi jelajah sempena Tahun Baharu Cina.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad mengunjungi rumah masyarakat Tionghoa sempena Tahun Baru Cina di Taman Sri Gombak, Gombak pada 24 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :