Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menziarahi sepasang suami isteri Muhammad Faizan Kambali, 32, dan isterinya, Natasha Hilman Luqman, 31, yang kehilangan dua anak apabila rumah mereka terbakar pada 2 Januari 2023. Pertemuan berlangsung di Balai Raya JKKK Kampung Simpang 3, Gombak ketika Amirudin melawat dua lagi keluarga yang turut terjejas. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ziarah suami isteri hilang dua anak dalam kebakaran di Gombak

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 2 JAN: Dato’ Menteri Besar malam ini menemui suami isteri yang kehilangan dua anak dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Jalan Dewan Simpang Tiga, di sini awal pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu mereka ketika melawat dua lagi keluarga yang turut terjejas dan kini berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) balai raya kampung berkenaan.

Muhammad Faizan Kambali, 31, memilih untuk tinggal sementara di rumah keluarga di Kampung Changkat di sini kerana isterinya, Natasha Hilman Luqman, 30, sedang sarat mengandung anak ketiga.

Suasana bertukar hiba apabila Natasha yang dijangka melahirkan anak bulan depan menangis disusuli suaminya ketika menceritakan kejadian pagi tadi kepada Amirudin.

“Saya tak sangka. Allah ambil dua-dua anak. Saya dan suami keluar, tidak sampai setengah jam jiran hubungi kata rumah habis terbakar,” katanya teresak-esak sambil memegang tangan suaminya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meziarahi mangsa kebakaran yang kini berteduh di penempatan sementara Balai Raya Kampung Simpang Tiga, Gombak pada 2 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Amirudin mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat dan turut menghulurkan sumbangan RM500 dari Pejabat Parlimen Gombak sementara RM500 lagi oleh Pejabat Tanah dan Daerah.

Sumbangan tambahan RM500 turut diberi kepada mangsa yang kehilangan ahli keluarga.

“Kita akan lihat sudut lain seperti beri bantuan menyewa di tempat lain dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Malaysia jika ada keperluan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi lain yang melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Maklumat awal yang kita dapat mereka semua adalah penyewa di rumah yang terbakar. Kerajaan Negeri akan mengambil langkah susulan selepas laporan siasatan bomba siap,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat daripada Ketua Zon 6 Hulu Selangor , Pgkb II Ahmadi Muhamad Hasan ketika
menziarahi mangsa kebakaran yang kini berteduh di penempatan sementara Balai Raya Kampung Simpang Tiga, Gombak pada 2 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi tadi, dua beradik, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemukan rentung dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Simpang Tiga.

Ketika kejadian difahamkan ibu bapa mereka keluar makan. Mayat dua beradik itu ditemukan rentung dalam bilik utama kediaman berkenaan.


Pengarang :