Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan cek cura kepada wakil Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Tua pada 19 Januari 2023. Foto Facebook CSR MBI Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih RM20,000 untuk laksana aktiviti, baik pulih kemudahan tiga sekolah agama

SHAH ALAM, 22 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi sumbangan RM20,000 kepada tiga institusi pendidikan Islam minggu lalu, kata ketua tanggungjawab sosial korporatnya.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata sekolah tersebut ialah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Bangi Perdana yang menerima RM10,000 manakala Kafa Manbaeil Ulum dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Tua masing-masing RM5,000.

“Untuk tahun ini kita peruntuk RM1juta dana infrastruktur sekolah dan sekiranya ada penambahan bantuan, MBI guna zakat wakalah supaya institusi pendidikan dapat dibantu.

“Institusi pendidikan Islam sentiasa mendapat keutamaan MBI dan memperkasakan Islam bukan dengan slogan, tetapi dengan kerja,” katanya dihubungi SelangorKini.

Tambah Ahmad Azri, bantuan sekolah pendidikan Islam boleh dipohon sama seperti bantuan pembaikan infrastruktur dan program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sepanjang tahun lalu, MBI membantu hampir 100 sekolah dalam membangunkan infrastruktur demi keselesaan pelajar.

Bantuan melibatkan dana RM1.5 juta dibuat secara tahunan bagi memastikan sekolah mendapat kemudahan terbaik.


Pengarang :