Ketua jurulatih bola sepak wanita Malaysia Soleen Hamed Tawfiq Al-Zoubi melakukan undian pasukan Liga Super Wanita FAS 2023 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 25 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDA SUKANKINI

MBI sokong penganjuran kejohanan sukan, cungkil bakat baharu untuk negara

SUBANG JAYA, 25 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneruskan sokongan penganjuran Liga Super Wanita FAS edisi kedua dengan menjadi penaja utama kejohanan tersebut.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata tajaan itu antara usaha pihaknya memberi peluang kepada golongan muda khususnya wanita menyertai bola sepak.

“MBI komited menyokong penganjuran kejohanan semua jenis sukan terutama untuk mencungkil bakat atau pelapis baharu yang bakal mewakili negeri atau negara.

“Justeru, tajaan musim kedua Liga Super Wanita FAS diteruskan kerana memberi peluang kepada anak muda sertai bola sepak wanita selain yakin saingan kali ini lebih menarik berbanding tahun sebelumnya,” katanya ditemui pada majlis undian Liga Super Wanita FAS 2023, hari ini.

Liga Super Wanita FAS dijadual berlangsung dalam tempoh dua bulan bermula 8 Februari depan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara manakala naib juara pula RM5,000.

Untuk edisi 2023 ini menyaksikan 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan bakal berentap merebut gelaran juara.

Kumpulan A terdiri daripada FC Spicegals, MBSJ FC, NSW FC, Shah Alam United, PJKITA FC dan FC SWAT manakala kumpulan B pula Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) FC, UiTM Lioness, SSS Leopard FC, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sternen FC dan Kelana United.

Perlawanan peringkat berkumpulan diadakan di Radia Arena Bukit Jelutong manakala bagi peringkat kalah mati di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya.


Pengarang :