Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI sumbang tangki atasi masalah bekalan air di Apartmen Penaga

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 2 JAN: Penduduk di Apartmen Penaga, Taman Mas, Puchong boleh menarik nafas lega apabila dua tangki air baharu sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sudah beroperasi kemarin.

Bantuan MBI itu berikutan kejadian tangki pecah pada 28 Oktober tahun lalu, yang memaksa mereka mengangkut bekalan air daripada tangki sementara di kawasan perumahan itu untuk kegunaan harian.

Ketua Tanggungjawab Sosialnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata tempoh untuk memesan dan memasang dua tangki statik berkapasiti 4,000 gelen itu dengan kos keseluruhan RM13,000 memakan masa dua minggu.

“Alhamdulillah penduduk di Apartmen Penaga sudah tidak perlu berulang alik mengangkut air dari empat tangki sementara dibekalkan pihak Air Selangor yang diletakkan di bawah apartmen.

“Ini kerana dua tangki baharu ini dipasang di kawasan atas apartmen jadi mereka boleh menggunakan air melalui saluran paip di rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Azri berkata jika dua tangki itu tidak dipasang, penduduk terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapat gantian tangki baharu melalui tuntutan insurans yang mengambil masa kira-kira setahun.

Tambahnya, MBI juga menyumbang RM2,000 kepada persatuan penduduk di apartmen tersebut.

Kejadian tangki pecah sekitar 7.40 malam itu menyebabkan lebih kurang 150 rumah terputus bekalan air serta enam kenderaan rosak antaranya cermin pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Susulan itu, MBI menyumbang 240 botol air minuman 1.5 liter kepada penduduk terlibat bagi meringankan beban pada 31 Oktober tahun lalu selain meluluskan permohonan badan pengurusan bersama (JMB) apartmen bagi mendapatkan peruntukan membeli tangki baharu.


Pengarang :