Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan sumbangan wang tunai dan kit kebersihan kepada mangsa insiden kebakaran Kampung Simpang Tiga pada 4 Januari 2023. Foto MBI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI ziarah mangsa kebakaran di Gombak, hulur bantuan tunai

SHAH ALAM, 4 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menghulurkan bantuan wang tunai RM1,000 kepada pasangan suami isteri yang kehilangan dua anak dalam kebakaran di Jalan Dewan Simpang Tiga, Gombak.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata dua lagi keluarga yang terjejas dalam insiden itu juga menerima bantuan RM500 bagi setiap keluarga serta kit kebersihan untuk kegunaan mereka.

“Menerusi lawatan pagi tadi, kita beri sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa tanda keprihatinan. Kita juga meneliti bantuan lain termasuk keperluan anak-anak yang masih bersekolah.

“Kita akan cuba selesaikan secepat mungkin supaya bantuan ini menyusul dalam pada masa terdekat. Kita berharap bantuan awal ini dapat meringankan beban mangsa,”katanya dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi kelmarin, dua beradik, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemukan rentung dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Simpang Tiga.

Mayat dua beradik itu ditemukan rentung dalam bilik utama kediaman berkenaan.


Pengarang :