Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid bercakap kepada media selepas majlis angkat sumpah dan menandatangani surat akujanji di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 4 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBSA sedia timbang permohonan Jakel cari tapak niaga baharu

SHAH ALAM, 4 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedia menimbang permohonan gedung tekstil Jakel yang sedang mencari tapak perniagaan baharu sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata ketika ini MBSA masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pemiliknya.

“Memang semalam pemilik Jakel ada bertemu saya dan memaklumkan secara tidak rasmi untuk mencari tapak baharu bersebelahan Hospital Shah Alam.

“Namun, kita tunggu permohonan rasmi mereka. Kita sedia pertimbangkan,” katanya pada majlis angkat sumpah dan pelantikan ahli majlis MBSA hari ini.

Ahad lalu, Wisma Jakel di Seksyen 7 terbakar dan memusnahkan barangan jualan bagi persiapan bulan Ramadan dan hari raya Aidilfitri melibatkan kerugian ratusan juta ringgit.

Kejadian tersebut berulang semalam membabitkan stor simpanan kain langsir tingkat tiga di bangunan lot kedai tiga tingkat itu.

Sebelum ini, Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata operasi perniagaan gedung kain itu tergendala dan pihaknya merancang mencari tapak perniagaan baru di sekitar Shah Alam.


Pengarang :