Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar pada majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya di Bilik Mesyuarat Kenanga MBSJ pada 5 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ belanja lebih RM13 juta bina, naik taraf infrastruktur

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntuk RM13.46 juta bagi projek pembangunan bina baharu, naik taraf dan ubah suai infrastruktur.

Datuk bandarnya berkata perbelanjaan itu meliputi RM500,000 untuk menaik taraf balai masyarakat diikuti lampu isyarat dan taman (RM5.28 juta), jalan (RM2.75 juta) dan longkang (RM3.05 juta).

Dato’ Johary Anuar berkata sebanyak RM350,000 untuk projek tambah baik pusat rekreasi dan pengindahan diikuti gelanggang sukan (RM387,000) dan tandas awam (RM150,000).

“Kita turut menyahut saranan menteri kementerian pembangunan kerajaan tempatan (Nga Kor Ming) agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) selenggara seluruh tandas awam indah dan bersih.

“Justeru, bagi mencapai ke arah PBT yang inklusif dan lestari, MBSJ merancang pelbagai projek infrastruktur dan penyelenggaraan berterusan supaya semua kemudahan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi program Subang Jaya Coffee Talk di Facebook MBSJ semalam.

Pada masa sama, Johary berkata sebanyak RM49.49 juta diperuntuk bagi penyelenggaraan pembangunan infrastruktur yang dirancang pada tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM3.9 juta penyelenggaraan jalan raya diikuti parit longkang (RM5.5 juta), riadah dan taman (RM8.5 juta), lampu jalan dan taman (RM6 juta) dan aset jalan raya (RM3.5 juta).

“Sebanyak RM3.5 juta penyelenggaraan alat kelengkapan elektrik diikuti penglibatan komuniti (RM3 juta) dan lain-lain selenggara seperti menaik taraf kemudahan OKU bernilai RM100,000,” katanya.


Pengarang :