Lokasi pusat penjaja di Dataran Puchong Prima, Puchong yang berbumbung dan dilengkapi kemudahakan meletak kenderaan serta menyediakan aneka juadah menjadi tarikan pengunjung ke sana. Gambar dirakam pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ: Peniaga makanan wajib pakai pelitup muka berkuat kuasa 1 Januari

SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua pengendali makanan yang menjalankan perniagaan berkuat kuasa semalam.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata arahan itu dimasukkan dalam Perkara 5: Syarat Pematuhan Lesen Perniagaan dan Iklan di bawah aktiviti Premis Makanan dan Pengendali Makanan.

“Maklumat pemakaian pelitup muka telah disalurkan di media sosial MBSJ termasuk surat kelulusan lesen yang dikeluarkan kepada peniaga baharu.

“Justeru, menjadi perkara wajib kepada semua peniaga untuk mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran MBSJ,” kata Azfarizal Abdul Rashid kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau berkata pemeriksaan dan pemantauan akan dibuat secara berkala di gerai penjaja termasuk premis makanan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan terbabit.

Tambah Azfarizal, pihaknya juga akan memberi nasihat dan kesedaran terlebih dahulu sebelum tindakan penguatkuasaan diambil supaya pelaksanaan arahan itu diterima peniaga.

“Langkah ini bertepatan dengan salah satu teras MBSJ yang ingin membentuk sebuah Masyarakat Madani dalam Bandaraya Subang Jaya,” katanya lagi.

Pada 29 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar berkata penggunaan pelitup muka yang diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran di negeri ini mulai 1 Januari bertujuan meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan tersebut juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :