Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar pada majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya di Bilik Mesyuarat Kenanga MBSJ pada 5 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ sasar hasil dan perbelanjaan lebih 10 peratus tahun ini

SUBANG JAYA, 5 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyasarkan penambahan hasil lebih RM315 juta atau meningkat 10.7 peratus pada tahun ini, kata datuk bandarnya.

Dato’ Johary Anuar berkata peningkatan hasil itu dijangka meningkat RM30.4 juta berbanding tahun lalu yang berjaya dicapai RM284.5 juta.

“Aspirasi bajet MBSJ pada tahun ini berlandaskan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Pelan Strategik Subang Jaya 2020-2025. Belanjawan ini juga seimbang kerana menyasar perbelanjaan sama jumlahnya dengan hasil iaitu melebihi RM315 juta yang mana meningkat 11.7 peratus.

“Antara yang akan kita lakukan ialah bina baharu, naik taraf dan ubahsuai infra dan kemudahan awam membabitkan kos RM11.1 juta, penyelenggaraan pembangunan RM49.49 juta dan tambah baik sistem amaran awal banjir RM2.72 juta,” katanya hari ini.

Beliau berucap ketika majlis angkat sumpah dan ikrar integriti 23 individu sebagai ahli majlis MBSJ bagi penggal 2023 di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu.

Mereka mengangkat sumpah sebagai ahli majlis dihadapan Johary serta membuat perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan ikrar Akujanji.

Dalam pada itu, berhubung isu mendapan tanah di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai dekat sini, Johary memaklumkan kerja pembaikan dijangka selesai 7 Mei depan.

“Buat masa ini, kerja pembaikan ditapak mencapai 55 peratus dan dilaksana syarikat dilantik dengan kos RM9.5 juta.

“Antara kerja pembaikan dilaksana dalam projek pembaikan kawasan tersebut ialah membina tembok penahan dan penstabilan cerun,” katanya.


Pengarang :