PBTSELANGOR

MBSJ tawar geran komuniti sehingga RM50,000, permohonan dibuka setakat 31 Julai

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 18 JAN: Permohonan geran komuniti Subang Jaya Smart Vibrant sebanyak RM8,000 hingga maksimum RM50,000 dibuka sejak 15 Januari hingga 31 Julai.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan geran berkenaan terbuka kepada organisasi, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan institusi pendidikan di Subang Jaya.

“Menerusi Belanjawan MBSJ 2023 sebanyak RM3 juta diperuntuk bagi geran ini dengan pembiayaan minimum sebanyak RM8,000 sehingga maksimum RM50,000.

“MBSJ berhak meluluskan apa-apa amaun geran yang diberikan selain daripada yang dipohon berdasarkan kepada penilaian teknikal dan keperluan semasa,” katanya di Facebook.

MBSJ menjelaskan konsep yang boleh dilaksana bagi projek berdampak tinggi seperti perkhidmatan, kajian dan penyelidikan, jaringan, komunikasi pendidikan dan kesedaran awam.

Agensi berkenaan berkata bidang yang boleh dipohon perlu mengikut kriteria utama antaranya bandar hijau, bandar sihat, bandar makmur, bandar sejahtera serta mesra wanita.

Elemen lain bagi inisiatif yang julung kali dianjurkan adalah bandar pintar merangkap bandar pembelajaran selain bandar selamat termasuk berdaya tahan.

Maklumat lanjut berhubung geran boleh hubungi Urusetia Geran Komuniti Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ ditalian 03-8026 3131 sambungan 4038/4313/ 7400.

Orang ramai juga boleh layari laman sesawang rasmi www.mbsj.gov.my atau media sosial rasmi pihak berkuasa tempatan itu.


Pengarang :