PBTSELANGOR

MBSJ uji persimpangan lampu isyarat baharu, atasi trafik sesak di Puchong Jaya

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melaksanakan tempoh percubaan persimpangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Pipit sehingga Jalan Merbuk di Puchong sejak semalam sehingga 13 Januari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata langkah berkenaan lanjutan kerja naik taraf persimpangan jalan di Bandar Puchong Jaya yang selesai pada 18 Disember lalu.

“MBSJ melaksanakan tempoh percubaan persimpangan lampu isyarat yang baharu bagi mendapatkan tempoh masa fasa sistem lampu isyarat yang sesuai dan optima bagi aliran trafik di kawasan tersebut,” maklumnya di Facebook.

Justeru, pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan papan tanda dan pengurusan sistem lalu lintas bagi memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan tersebut.

Pada Mei tahun lalu Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM400,000 bagi membangunkan projek prasarana di kawasan terbabit bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk.

Dua persimpangan lampu isyarat di situ mengakibatkan kesesakan dinaik taraf menjadi satu persimpangan sahaja dan dijangka menyelesaikan masalah lalu lintas sehingga 80 peratus di kawasan itu.

 


Pengarang :