Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MCMC tidak pernah keluarkan mesej tuntut hadiah wang tunai

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan sebuah syarikat telekomunikasi.

MCMC dalam kenyataan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya serta elak daripada memberikan butiran peribadi seperti nombor kad pengenalan kepada individu tidak dikenali.

“Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain,” menurut kenyataan itu.

Mesej atau e-mel yang tular itu antara lain mendakwa hasil pemantauan dijalankan Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan Maybank, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai RM270,000 di bawah Bonus Hadiah Keluarga TM.

Kandungan e-mel tersebut juga menyatakan kononnya transaksi dengan Maybank adalah sah dan boleh menuntut wang tunai itu tanpa rasa takut.

– BERNAMA


Pengarang :