PBTSELANGOR

MDSB: Permit perniagaan ekspo hari raya dibuka mulai 24 Januari ini

SHAH ALAM, 16 JAN: Peluang buat masyarakat khususnya peniaga di Sungai Besar, Sabak Bernam apabila permit perniagaan Ekspo Raya Aidilfitri 2023 dibuka mulai 24 Januari ini.

Majlis Daerah Sabak Bernam dalam kenyataan memaklumkan permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi mdsb.gov.my atau hadir terus ke kaunter Jabatan Pelesenan MDSB.

“Pemohon mesti warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan tiada penyakit berjangkit.

“Borang permohonan perlu diisi dengan lengkap dan pemohon diminta menghantar borang sebelum 10 Februari ini di kaunter Jabatan Pelesenan MDSB,” kata kenyataan itu.

Terdapat dua kategori tapak iaitu saiz 20×20 dengan kadar sewaan bermula RM2,500 hingga RM3,500 manakala 10×10 (RM625-RM875) dan pemohon boleh memohon satu petak sahaja.

Penentuan tapak niaga pula akan dibuat secara kaedah cabutan nama pemohon diikuti dengan cabutan nombor petak pada 1 dan 2 Mac ini di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi 03-3224 655/100 sambungan 143/144/145 atau emel ke [email protected].


Pengarang :