BUDAYARENCANA

Membaca Critchley

Membaca Critchley
Oleh: Lokman Hakim

“I was dying. That much was certain. The rest is fiction.”

Begitulah ayat pemula Memory Theatre, yang barangkali mencerminkan realiti sebenar yang tersemat dalam karya tulisan Simon Critchley ini.

“Memory Theatre” diterbitkan pada tahun 2014. Ia suatu pengalaman menarik di mana Critchley menerima beberapa buah kotak daripada mantan pensyarahnya yang sudah meninggal dunia. Kotak-kotak tersebut disusun mengikut zodiak. Critchley mendapati kotak dengan label Taurus tiada di dalam lambakan kotak tersebut dan beliau hanya menerima kotak berlabel Taurus tersebut beberapa tahun kemudiannya.
Critchley ada kebolehan menyatukan fiksyen dengan keberadaannya selaku seorang filsuf. Dia memunculkan dirinya dalam fiksyen, menggarapnya dengan keakraban supaya pembaca dapat merasai pengalaman peribadinya yang disematkan di dalam karya ini.

Fiksyen adalah cereka. Cerita yang direka, khususnya. Melalui Memory Theatre, kita boleh melihat bagaimana Critchley secara lembut memasukkan dirinya ke dalam sebuah kisah separa fiksyen itu dan menyelitkan serba-sedikit kepolosan diri demi makna keakraban dalam pembacaan.
Tidak sukar membayangkan Critchley muncul selaku seorang budak polos yang tiba-tiba mendatangi kita, menyampaikan apa yang berlaku kepadanya. Namun, barangkali, melihat kita tidak teruja dengan apa yang menimpanya, budak polos itu menokok-tambah ceritanya supaya sedap didengar.

Seringkali didengar, penulis mutakhir kini tidak teragak-agak menceritakan perincian mengenai kehidupannya sehingga ke titik terhalus. Sehingga sanggup membogelkan peribadi insan tersayang di dalam tulisan lantas membuatkan keluarganya sendiri berantakan. Namun, Critchley tidak begitu. Dia menghanyutkan pembaca dengan perincian dalam kotak-kotak berisi memori yang mengkhayalkan. Sesekali dia menceritakan tragedi dalam kehidupannya selaku selingan, tanpa memaut kotak-kotak memori yang menjadi asas dan juga kerangka karya ini.

Bahkan Critchley juga menyebut beberapa karya filsuf dalam naskhah pendeknya ini, menjalinkan konteks karya-karya itu dalam pengungkapan memori peribadi sekaligus membangkitkan rasa ingin tahu terhadap intipati karya yang disebutkan.

Apa yang kita boleh belajar daripada “Memory Theatre” adalah kaedah menyusun memori. Di samping itu, kita juga boleh melihat bagaimana kepengarangan sesebuah karya itu amat dipengaruhi kehidupan peribadi pengarang. Peristiwa-peristiwa penting mencetuskan inspirasi dan juga laluan kepengarangan individu. Critchley menayangkan keenakan melakukan analisis karya yang langsung mengenepikan keberasingan karya daripada seorang pengarang sesudah ia siap dibukukan.

Membaca sebuah karya tidak mengharuskan kita untuk menelaahnya dari titik mula hingga ke penghujung. Critchley mempersembahkan kemungkinan di mana sesebuah karya itu merupakan fragmen demi fragmen yang boleh dimulai pembacaannya dari mana-mana sudut.

Critchley berjaya membina teater memori yang fungsional dengan fizikal sebuah teater berskala mini dilengkapi dengan boneka-boneka yang dilengkapi dengan memori yang sudah diasingkan mengikut kriteria yang tersendiri.

Sesudah membaca Memory Theatre, kita patut sedar, satu-satunya fiksyen di dalam Memory Theatre ini adalah Simon Critchley sedang menunggu kematian tanpa berbuat(menulis) apa-apa mengenainya.
Namun perjalanan Simon Critchley itu tidak berhenti di situ. Tika menunggu kematian yang tidak kunjung tiba itu, dia menyajikan pembaca dengan “Notes on Suicide” yang agak peribadi renungannya meskipun terdapat suatu usaha untuk mengaburi pembaca bahawa dia cuba menyingkapkan catatan bunuh diri dari kaca mata profesional seorang filsuf. Namun, sudahnya Chritchley tidak menemukan sekujur tubuh polos bernama “bunuh diri”. Perbuatan bunuh diri itu diladeni kekaburan akibat larangan agama, moral dan juga erti kehidupan yang tidak dapat dipisahkan seperti bayang-bayang dengan tuannya.

Adakah Chritchley sudah selesai dengan misteri “bunuh diri” ini? Memahami wujudnya persoalan tanpa jawapan khusus meninggalkan enigma. Enigma tanpa jawapan adalah tragedi untuk mereka yang hidup di dunia ini. Ketidaktahuan menjurus kepada kekaburan dalam mengatur langkah sekaligus mendorong kepada kesilapan demi kesilapan yang barangkali tidak terkawal skala kerosakannya.

Kita boleh melihat Chritchley beralih kepada definisi tragedi yang membentuk kehidupan dan ketamadunan manusia selama ini. Dalam “Tragedy. The Greeks and Us” Chritchley mengungkapkan:

“What can happen in tragedy is that we can give ourselves over to that intensity of life, to the happening of aliveness, and open ourselves to the core.”

Hakikatnya, Chritchley masih berpaut pada pencarian makna “bunuh diri” yang tergantung di penghujung “Notes on Suicide”:

“Why not calm down and enjoy the world’s melancholy spectacle that spreads out so capaciously and delightully before us?”

Justeru, dapat dilihat bagaimana Chritchley menghayati esensi bunuh diri dan hampir terjerumus ke dalamnya dalam “Memory Theatre”. Namun Chritchley tidak mudah tunduk pada esensi itu. Dia cuba mengenali apakah sebenarnya perbuatan bunuh diri itu, mencerakinkan ia menjadi komponen-komponen ringkas agar mudah difahami sekaligus dikuasai sebaiknya dan ini tertera jelas dalam “Notes On Suicide”. Memahami ia adalah tragedi, Chritchley melandaskan konteks tragedi pada deretan teater-teater Yunani yang dia akrabi sekian lama demi membongkari maknanya.

Membaca Chritchley khususnya perjalanannya mencari makna sesuatu perkara begitu menarik kerana dengan menggunakan gagasan yang merentas tamadun, falsafah dan psikologi, dia menemukan pembacanya bagaimana memperkakaskan sastera untuk merungkaikan persoalan rumit.


Pengarang :