BUDAYARENCANA

Mencari ‘yang berkhidmat’ dalam filem Aku Yang Berhormat

Oleh Adam Taufiq Suharto

Sesetengah kita mungkin menganggap bahawa lewat kini sahaja sinema Malaysia memiliki filem tentang politikus apatah lagi memaparkan politikus menyeleweng. Ini tidak benar dan ternyata, pemaparan politikus mahupun politikus menyeleweng bukanlah hal yang baharu dalam sinema kita. Malah kalau kita imbau semula filem-filem Era Studio sendiri sudah mula bercerita tentang ‘politik istana’ seperti filem Hang Tuah, Jebat, Dang Anom dan banyak lagi filem purba yang lain.

Ketika era bumiputera sinema Malaysia, juga sebahagian besarnya berada di bawah era Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri keempat, filem tentang politikus baik yang menyeleweng mahupun tidak, tetap wujud. Walaupun tidak besar jumlahnya, tetapi pendekatannya berencam. Matinya Seorang Patriot, Ringgit Kasorrga mungkin adalah kumpulan filem yang mengambil pendekatan serius tetapi yang ingin disentuh di sini adalah filem dengan pendekatan komedi yakni filem arahan Raja Ismail, berjudul Aku Yang Berhormat.

Dari rakyat kepada wakil rakyat

“Saya akan gulingkan dia secara demokrasi.”

Kurang lebih begitulah dialog Hamid lakonan Hamid Gurkha, seorang petani dan berkhidmat dengan pasukan Rela di kampung. Biarpun Hamid orang kampung, tak berpelajaran tinggi, tetapi dia sering berangan-angan menjadi wakil rakyat. Sering apabila berseorangan, dia akan berlatih pidato walau acapkali terganggu atau diganggu oleh isteri dan anaknya.

Yang mencuit hati antaranya babak ketika Hamid sedang berlatih pidato dan menyebut dialog, “saya sanggup berkorban nyawa”, dengan tak semena-mena, isterinya datang dan menangis teresak-esak mendengar suaminya bercakap tentang nak berkorban nyawa, tentang nak mati. Selepas dimarahi oleh Hamid, isterinya kembali membalun Hamid, ‘Politik, politik. Matilah abang dengan politik tu’.

Keghairahan Hamid untuk menjadi wakil rakyat sebenarnya bukanlah datang daripada kepakuman mahupun angan-angan. Ia hadir daripada rasa meluatnya kepada YB Jamali (lakonan Jamali Sadat) yang selain tidak menjaga kepentingan orang kampung, juga menyeleweng dan bermewah-mewah. Antara isu yang tekal disuarakan oleh Hamid adalah tentang penyelewengan baja untuk petani dan pekebun di kampung. Dia sendiri turut merasakan dampaknya selaku petani.

Menarik juga ditunjukkan bagaimana anak Hamid, Dharma (ya, lakonan Dharma Harun Al-Rashid) yang merupakan pelajar universiti jurusan undang-undang sering menjadi tempat Hamid untuk merujuk dalam membuat ucapan-ucapan yang baik tentang politik, menunjukkan keseriusannya untuk bergelar wakil rakyat. Walaupun begitu, yang anehnya Dharma sebagai orang terpelajar hanya lebih banyak melepak dengan kekasih sementara tugas-tugas menggulingkan YB Jamali lebih banyak dilakukan oleh bapanya, Pak Hamid. Ini barangkali salah satu kekurangan dalam filem ini.

Renungan Bersih, Cekap, Amanah

“Yang Berhormat, semua orang kampung dah tahu, apa yang berhormat buat sejak jadi wakil rakyat.”

“Kami pun dah siapkan laporan untuk hantar kepada Perdana Menteri, Yang Berhomat tak mengikut dasar BCA (Bersih, Cekap, Amanah).”

Amaran ini datang daripada Hamid dan temannya semasa bertugas dengan pasukan RELA di kawasan rumah YB Jamali. YB Jamali bukan sahaja digambarkan tidak cekap melakukan tugas, dia juga digambarkan sebagai suka berjoli dan bersuka ria, sementara hal-hal berkait dengan masalah petani belum selesai.

Perlu juga diamati aspirasi Bersih, Cekap, Amanah (BCA) ini yang merupakan slogan Tun Dr Mahathir dalam tahun-tahun awal keperdanamenteriannya. Sandaran BCA dalam filem ini tak dipaparkan secara sinis seperti dalam Matinya Seorang Patriot juga Rozana Cinta 87. Ini kerana Bersih, Cekap, Amanah itu walaupun tak ada pada YB Jamali, ia disandarkan kepada watak Hamid, yang kemudian kerana sikapnya yang bersih, cekap dan amanah itu menyebabkan dia menjadi YB.

Tambah lagi, dengan tidak menyatakan nama parti, menyebabkan YB Jamali (yang korup) terlihat sebagai wakil daripada parti yang tak menjunjung ‘bersih, cekap, amanah’ manakala Hamid pula adalah ejen kepada Bersih, Cekap dan Amanah itu. Ini diperkuatkan lagi kerana di rumah Hamid, Hamid memang menggantung tiga foto pemimpin negara (pada waktu itu) yakni Tun Dr Mahathir, Tun Musa Hitam (Timbalan Perdana Menteri) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Menteri Kewangan). Jadi ini memperjelaskan letak-duduk pandangan politik Hamid (yang tidak diperjelaskan).

Buruknya perangai YB Jamali ini tak hanya ditunjukkan menerusi wataknya sahaja tetapi turut juga dipaparkan melalui orang-orang disekitarnya misalnya, watak isterinya yang juga menyombong dengan orang-orang kampung dan belanja bermewah-mewah (ya, saya tahu susuk mana yang sedang bermain di fikirkan anda, tapi hal itu kita simpan saja di dalam saku). Selain itu, ada juga ditunjukkan bagaimana pengikut-pengikut YB Jamali yang bagai lalang, mengekor siapa yang menang. Bila dia tahu YB Jamali akan kalah pilhanraya, dia ikut Pak Hamid pula. Asal periuk nasi terjaga, poket boleh penuh, dia sauk saja.
Pada akhirnya, Hamid menjadi YB dan menyampaikan pesan kepada orang ramai bahawa;

“Saya harap saudara saudari jangan panggil saya Yang Berhormat, panggil saja saya Yang Berkhidmat. Kalau saudara panggil saya Yang Berhormat, saya takut nanti saya tak boleh nak berkhidmat.”

Maka dengan kemenangan Pak Hamid itu menjadikan filem ini sebagai kemenangan kaum petani ke atas wakil rakyat penyeleweng.Walaupun begitu, filem ini tetap tidak lari daripada kekurangan. Misalnya, dialognya yang terlalu didaktik dan berdakyah politik sehingga kadang kala agak meleret dalam beberapa babak, tidak sesantai filem dari pengarah sama berjudul Sikit Punya Gila. Selain itu, watak YB Jamali juga tidak diletakkan kompleksiti kerana kalaulah ada kompleksiti seperti; mungkin dia menyeleweng tapi ada hal-hal yang tampak baik menurut orang kampung akan menambah lagi konflik perlawanannya dengan Hamid.

Raja Ismail pernah mengarahkan tiga buah filem dan secara peribadi, saya lebih menyukai Sikit Punya Gila yang lebih santai tapi berisi. Selain komedi, yang tekal tentang ‘kepengarangan’ Raja Ismail adalah isu dan perspektif yang selalu diangkat iaitu isu kelas bawahan. Sikit Punya Gila tentang hidup sehari-hari dua orang perantau yang tinggal di rumah setinggan sekitar KL, manala Ragam Pemandu adalah perjalanan harian seorang pemandu peribadi dengan majikan.

Terpulanglah sama ada kita berpendapat penerapan komedinya itu efektif atau tidak, tetapi kalau itu tidak dilakukan, mungkin kritik-kritik beliau terhadap kuasawan dengan mengetengahkan isu-isu kelas bawah akan terlihat ‘keras’. Begitu pun, saya juga tak percaya hanya dengan cara ‘tidak keras’ sahaja menjadikan sesuatu filem yang mengkritik politik itu sebagai filem yang baik.

Akhir sekali, seperti mana saya tidak bersetuju dengan pandangan bahawa kritikan politik dalam filem-filem P Ramlee melangkaui zamannya, seperti itu juga saya tidak percaya Raja Ismail melangkaui zamannya. P Ramlee dan Raja Ismail memang memaparkan kemelut di zamannya, tinggal lagi kita pada masa sekarang tidak pernah berubah daripada dahulu sehingga kita dapat menemukan persamaan-persamaan tersebut.


Pengarang :