Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berucap pada majlis pelancaran OpenDOSM NextGen di Jabatan Perangkaan, Putrajaya pada 12 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Isu import makanan ayam selesai dalam tiga bulan

SHAH ALAM, 14 JAN: Kerajaan memberi jaminan isu kebergantungan terhadap import makanan ayam akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertahanan bagi mencari jalan penyelesaian isu terbabit.

“Kita mahu sahut cabaran supaya kerajaan selesaikan soal kebergantungan kepada import makanan ayam. Insya-Allah kita akan cuba cari jalan (selesaikan),” katanya.

Beliau berucap demikian pada Konvensyen Pilihan Raya Negeri (PRN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Rafizi menambah usaha kerajaan memulihkan kembali ekonomi negara berjalan lancar setakat ini.

“Tanggungjawab kerajaan ketika ini berjalan dengan baik dan saya tidak nampak gangguan. Kita berusaha menetapkan negara kembali ke landasan yang baik supaya rakyat boleh menilai prestasi ekonomi.

“Sebab itu saya kata jangan bimbang. Yang bising setiap hari, satu persatu dan dalam bulan-bulan akan datang semua modal yang dia (pembangkang) buat bising itu hilang satu demi satu,” katanya.


Pengarang :