Seorang pengguna kelihatan memilih telur ayam ketika mengunjung MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, Putrajaya pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kekurangan bekalan telur di pasaran semakin pulih

PUTRAJAYA, 17 JAN: Kekurangan bekalan telur di pasaran negara ini semakin pulih susulan langkah sementara yang diambil kerajaan membenarkan telur diimport, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata ini terbukti apabila data daripada Jabatan Veterinar menunjukkan kekurangan telur pada Disember lepas hanyalah sebanyak sejuta, berbanding situasi kekurangan kritikal sebelum itu iaitu November sebanyak 157 juta dan 118 juta pada Oktober.

“Saya melapor diri di MAFS (Pertanian dan Keterjaminan Makanan) pada 5 Dis lepas. Selepas mendengar taklimat tentang situasi semasa bekalan telur, saya bersama pengurusan tertnggi MAFS bertemu beberapa pengeluar utama telur untuk mencari jalan penyelesaian terbaik supaya bekalan dapat dipulihkan.

“Data yang saya peroleh daripada Jabatan Veterinar menunjukkan kekurangan telur agak kritikal pada Oktober dan November 2022. Alhamdulillah, sekarang bekalan ayam dan telur sudah mula pulih, insya-Allah akan kembali stabil tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Disember lepas, kerajaan membenarkan kemasukan telur ayam dari India menerusi laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati piawaian yang ditetapkan.

Mengenai cadangan supaya kerajaan menghentikan eksport telur, Mohamad berkata langkah itu tidak dapat dilakukan kerana kenaikan mendadak kos makanan ayam yang diimport dan kawalan harga yang terlalu lama hingga menekan pengeluar telur tempatan.

“Mereka (pengeluar telur) sangat mengharapkan hasil ekspot telur untuk menampung kerugian dialami di pasaran tempatan kerana kawalan harga dikenakan terlalu lama dan boleh menyebabkan banyak syarikat terpaksa menghentikan operasi,” katanya.

Bagi menyelesaikan isu berkenaan, Mohamad berkata MAFS telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan selain mencadangkan agar subsidi bersasar diberikan kepada rakyat memerlukan, sebelum harga telur diapungkan semula.

— BERNAMA

 


Pengarang :