Pasangan suami isteri mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm mengadakan pertemuan dengan tiga pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Hulu Selangor iaitu Hilmi Husman, Mohammad Amin Rosdi dan Mohd Firdaus Abd Samad pada 2 Januari 2023. Foto Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
AGENDANASIONAL

Meski anak terkorban, suami isteri hargai jasa penyelamat tragedi tanah runtuh

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 3 JAN: Suami isteri yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali mengadakan pertemuan bagi mengucapkan terima kasih kepada anggota penyelamat.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerusi Facebook memaklumkan pasangan itu bertemu tiga pegawai dan anggotanya dari daerah Hulu Selangor di sebuah restoran semalam.

“Walaupun cahaya mata mereka berdua terkorban dalam kejadian berkenaan, pasangan ini tetap menghargai jasa kesemua penyelamat yang bekerjasama membantu menyelamatkan kesemua mangsa,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit turut menyatakan kesedihan atas kehilangan anak tunggal mereka selain berkongsi video rakaman ulang tahun kelahirannya.

“Mangsa lelaki turut menjelaskan beliau lah yang pertama kali menghubungi talian kecemasan dan berkongsi saat-saat menyedihkan apabila melihat isteri dan anaknya terperangkap di dalam kereta.

“Pada masa itu beliau hanya mampu melihat dari jauh sementara anggota penyelamat cuba mengeluarkan anak dan isterinya,” tulisnya lagi.

Dua hari selepas insiden di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Bernama melaporkan pegawai APM Mohd Firdaus Abd Samad berkongsi pengalamannya menyelamatkan mangsa di lokasi.

“Ada satu kejadian yang menyedihkan buat saya, seorang mangsa lelaki memberitahu kami isteri dan anaknya ada di dalam kereta mereka yang turut terkesan dengan runtuhan itu. Dia menjerit memberitahu supaya pasangannya terus menekan hon supaya mudah untuk kami mengesan kedudukannya.

“Dalam timbunan tanah dan kereta yang berselerakan, kami terus mencari arah hon kereta mangsa. Tidak lama selepas itu kami menemui kereta yang dimaksudkan lelaki berkenaan, dengan di dalamnya memang ada isteri dan anaknya.

“Dalam keadaan lemah, wanita itu meminta kami menyelamatkan anaknya terlebih dahulu. Ketika sudah berjaya mencapai si anak, saya segera memeluknya. Bagaimanapun, ketika itu, terdetik dalam fikiran saya bahawa kanak-kanak malang itu sebenarnya sudah meninggal dunia. Jelas dia pucat, sejuk dan tidak lagi bernadi,” katanya.

Tragedi yang berlaku pada 2.46 pagi itu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.


Pengarang :