SHAH ALAM, 6 JAN: Model perniagaan ST Rosyam Mart yang menawarkan barangan pada harga murah dan berpatutan boleh dijadikan contoh bagi pasar raya lain.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata inisiatif daripada pihak industri yang menyokong aspirasi kerajaan dalam menangani kos sara hidup amat dihargai.
“ST Rosyam Mart mengadakan program jualan gudang, selain itu ia turut beroperasi 24 jam setiap hari.
“KPDN bangga ada penggiat industri daripada kalangan peruncit yang mampu untuk melaksanakan program seperti ini tanpa melibatkan sebarang kos atau implikasi kewangan kepada kerajaan,” kata Datuk Roziah Abudin.
Beliau ditemui selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) ‘First 24 Hours Upscale Wholesale Retail Market’ dan pelancaran jualan gudang di ST Rosyam Mart di sini hari ini.
Majlis itu menyaksikan ST Rosyam Mart Sdn Bhd diiktiraf MBOR sebagai pasar raya borong moden pertama yang beroperasi 24 jam setiap hari.
Roziah percaya model perniagaan digunakan ST Rosyam Mart yang menawarkan harga rendah dan berpatutan boleh dicontohi penggiat industri lain.
“Ada pelbagai cara mereka lakukan antaranya mendapatkan bekalan terus sumber seperti hasil laut daripada nelayan dan dibawa ke sini yang sudah tentunya lebih murah,” katanya.