Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi menerangkan kepada orang awam berkenaan statistik inventori cerun ketika Sesi Dialog Awam ‘Townhall’ Pengurusan Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ, Ampang Jaya pada 19 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ pantau ketat cerun bahaya, arah pemilik senggara elak tindakan tegas

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 20 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memantau ketat 356 cerun di kawasan pentadbirannya terutama yang dikategorikan bahaya dan sangat bahaya.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ memaklumkan sebanyak 116 cerun dikelaskan sebagai sangat bahaya, 47 lagi bahaya manakala selebihnya kurang bahaya ketika ini.

Menurut Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi berkata, cerun berkenaan bawah pemilikan berbeza antaranya individu, pemaju, pihak berkuasa tempatan itu sendiri dan kerajaan.

“Saya minta kerjasama individu atau pemaju agar bertanggungjawab dan bekerjasama dengan MPAJ untuk memantau dan menyelenggara cerun mereka bawah kategori sangat bahaya dan bahaya.

“Ini kerana sebahagian daripada mereka buat tidak tahu walaupun notis telah dihantar. Jangan sampai tindakan lebih tegas terpaksa diambil,” katanya dalam program dialog awam berhubung pengurusan cerun di sini malam tadi.

Menurut Ir Zafrul Fazry, kawasan yang dikenal pasti memiliki cerun bahaya dan sangat bahaya ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, DUN Bukit Antarabangsa, DUN Lembah Jaya dan DUN Teratai.

Hadir sama dalam sesi dialog itu ialah Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim, Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad dan polis Daerah Ampang Deputi Superintenden Mohamad Fisol Abdullah.

 


Pengarang :