Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 28 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mempelawa orang ramai khususnya penduduk setempat berkunjung ke Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya yang dibuka sejak 16 Januari.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata medan selera baharu yang memuatkan 17 gerai dan 6 kiosk menjual aneka makanan seperti nasi campur, masakan panas, sate dan pelbagai jenis minuman.
“Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya adalah premis moden dan selesa dengan lokasi strategik, mesra pengguna selain menyediakan kemudahan lengkap seperti tandas, surau, dan parkir.
“Ayuh warga Ampang Jaya. Kita raikan pembudayaan ekonomi. Jumpa di sana,” katanya menerusi Facebook.

Pada 19 Januari lalu, seramai 11 peniaga Gerai Statik Jalan Ayer Lama menerima surat tawaran dan kunci gerai Laman Selera [email protected] Jaya daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata medan selera baru itu antara usaha memajukan dan menggalakkan aktiviti komersial usahawan sekitar Ampang Jaya dengan menaik taraf industri makanan dan minuman.
Medan selera dengan reka bentuk Brutalist seluas 0.71 ekar dibina menerusi peruntukan RM4.6 juta daripada KPKT turut melibatkan pembangunan sebuah Pusat Anaerobic Digester (AD) MPAJ berkeluasan 0.37 ekar.
Dalam usaha memajukan laman selera baru ini, peniaga terlibat diberikan pengecualian sewa selama tiga bulan sebagai penghargaan atas sokongan kepada MPAJ.
