PBTSELANGOR

MPK nasihat orang ramai letak kenderaan di tempat disediakan, elak dikompaun

SHAH ALAM, 10 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menasihati orang ramai supaya meletak kenderaan di tempat yang disediakan bagi mengelak dikompaun dan ditunda.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata meletak kenderaan di taman bunga, kawasan lapang, lorong pejalan kaki, lorong basikal, taman rekreasi atau hiburan serta padang permainan tidak dibenarkan.

“Larangan ini termasuk bulatan lintas, batasan tengah sepanjang jalan, sisian jalan, rizab jalan, sungai, anak sungai, tebing sungai atau sebarang tanah yang diselenggara MPK,” kata Norfiza Mahfiz dalam kenyataan.

Kelmarin, kira-kira 30 pemilik kenderaan mempersoal tindakan pihak berkuasa tempatan terbabit yang mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,000 kerana meletakkan kenderaan di padang di Dewan Eng Ann, Taman Eng Ann.

Menjelaskan perkara itu, Norfiza berkata tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Taman (MPK) 2005 UUK 8(1) itu bagi memastikan persekitaran kondusif selain mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab.

Beliau turut mengakui kompaun dikenakan terhadap pemilik kenderaan terbabit mendapat reaksi positif setempat.

“Mereka menganggap tindakan pemilik yang meletakkan kenderaan di atas padang awam sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan kerosakan di padang kediaman mereka,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 57 kompaun dikeluarkan MPK atas kesalahan itu sepanjang tahun lalu manakala 41 pada tahun sebelumnya.


Pengarang :