Orang ramai membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam pada 5 Mei 2021. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

MPK sedia lebih 2,000 petak bazar Ramadan, permohonan dalam talian mulai 25 Januari

KLANG, 4 JAN : Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuka permohonan permit bazar Ramadan secara dalam talian mulai 25 Januari hingga 14 Februari depan.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata 2,229 petak bazar Ramadan di 40 lokasi disediakan dan permohonan boleh dibuat menerusi iportal.mpklang.gov.my/PermitOnline.

“Bayaran yang dikenakan adalah RM310 bagi tapak yang tidak digunakan untuk pasar malam, manakala RM270 bagi tapak pasar malam.

“Jumlah petak tahun ini juga meningkat berbanding tahun lalu hanya 887 petak bazar Ramadan kerana kita mendapat banyak permintaan daripada peniaga,” katanya.

Noraini berkata demikian selepas majlis angkat sumpah ahli majlis MPK penggal 2023 di ibu pejabat MPK di sini hari ini.

Beliau mengingatkan peniaga bazar Ramadan diwajibkan memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri bagi mengelak sebarang jenis penyakit.

“MPK amat mengambil berat pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) bagi memastikan tiada isu berbangkit berkaitan wabak dan pada masa sama operasi bazar berjalan lancar,” katanya.

Selain itu, Noraini turut mengalu-alukan penduduk Klang yang ingin menjelaskan cukai taksiran boleh hadir ke kaunter bergerak setiap Sabtu dan Ahad bulan ini.

“Kempen ini akan dilaksanakan pada 21 hingga 22 Januari di depan Pasaraya Econsave Kapar dan 28 hingga 29 Januari di Pangsapuri Proton, Taman Maznah bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Dengan adanya kaunter bergerak ini ia akan memudahkan penduduk untuk menjelaskan cukai taksiran masing-masing, saya harap ramai ambil peluang tersebut,” katanya.


Pengarang :