Pemandangan sebuah kedai makan ketika pemeriksaan pada 17 Januari 2023. Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

MPKj keluar tujuh kompaun, satu premis diarah tutup kerana kotor

SHAH ALAM, 22 JAN: Satu premis ditutup, tujuh kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kepada pengusaha kedai makan atas pelbagai kesalahan pengendalian makanan dan perlesenan pada 17 Januari lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata pemeriksaan ke atas sembilan premis makanan terbabit dilakukan di sekitar Bangi dan Eco Majestic.

“Satu premis diarah tutup di Bawah Undang-undang Kecil 62, Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPKJ) 2007 kerana tahap kebersihan kurang memuaskan dan mendapat markah kurang daripada 50 peratus.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis dua kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mendapatkan suntikan imunisasi demam kepialu dan apa-apa penyakit yang diarahkan oleh majlis,” katanya di Facebook.

Selain itu katanya masing-masing dua kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memasang dan menyelenggara perangkap minyak serta menjalankan aktiviti establisymen makanan tanpa lesen dikeluarkan majlis.

“Satu kompaun dikenakan kepada pengusaha kerana tidak memakai apron dan penutup kepala yang bersih semasa jualan dan penyediaan makanan,” katanya.

Seramai enam anggota Unit Kawalan Keselamatan Makanan dan Kesihatan Am Bahagian Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj terlibat dalam pemeriksaan terbabit.


Pengarang :