Keadaan kilang kitar semula sisa pepejal di Jalan Abdul Aziz, Ijok, Kuala Selangor yang diarah tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berikutan operasi tanpa lesen. Foto: Facebook MPKS
PBTSELANGOR

MPKS: Kilang kitar semula beroperasi tanpa lesen diarah tutup serta-merta

SHAH ALAM, 23 JAN: Sebuah kilang kitar semula sisa pepejal di Jalan Abdul Aziz, Ijok, Kuala Selangor diarahkan tutup serta-merta kerana didapati beroperasi tanpa kebenaran.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis menjalankan operasi pada 19 Januari lalu hasil aduan orang awam berhubung kacau ganggu bau di kawasan sekitar.

“Ketika pemeriksaan dibuat didapati premis disyaki menyimpan dan memproses buangan terjadual seperti ‘metal dross’, buangan bateri kering, ‘plastic circuit board’ dan ‘copper scrap’.

“Justeru, kilang ini diarahkan tutup serta merta dan dikenakan kompaun ekoran kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang,” kata MPKS menerusi kenyataan di Facebook.

MPKS memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa.

Menurutnya, MPKS juga mengenakan sitaan melibatkan tiga unit forklift dan satu pemampat udara manakala JAS turut mengambil lima sampel buangan terjadual di premis tersebut.

“Pemilik diarah mengemukakan pelan bangunan dan kompaun terhadap kesalahan struktur bangunan tidak mendapat kelulusan mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.


Pengarang :