Yang Dipetua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Dato’ Mohd Yazid Sairi (tengah) bergambar bersama 22 ahli majlis MPS yang baru mengangkat sumpah terima jawatan bagi penggal 2023 di ibu pejabat MPS, Gombak pada 3 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS lantik 22 ahli majlis, hampir 30 peratus digalas wanita

GOMBAK, 3 JAN: Hampir 30 peratus daripada 22 ahli majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mengangkat sumpah hari ini terdiri daripada wanita.

Yang dipertuanya berkata pelantikan bagi penggal 2023 turut dibarisi 10 peratus lantikan baharu dan 10 peratus lagi belia bawah 35 tahun.

“Bagi penggal 2023, seramai 20 ahli majlis adalah lantikan semula dan dua muka baharu manakala dua lagi belum dilantik buat masa ini.

“Saya berharap ahli majlis dapat menjadi wakil kepada masyarakat dan boleh menyampaikan pelbagai agenda, program dan aktiviti yang dianjurkan MPS,” kata Dato’ Mohd Yazid Sairi.

Beliau berkata demikian selepas majlis angkat sumpah ahli majlis MPS di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu di sini.

Sementara itu, Ahli Majlis MPS Alice Choo Foong Thye berazam akan membawa suara dan membantu menyelesaikan masalah penduduk.

“Selaku ahli majlis baharu saya menjanjikan komitmen untuk membawa suara komuniti Selayang kepada MPS bagi menjamin kesejahteraan masyarakat,” katanya yang baru pertama kali mengalas jawatan itu.

Ahli Majlis MPS Mohamad Faridul Amini Suhaimi pula tekad memastikan kebajikan masyarakat di Selayang terjaga seiring dengan kemajuan negeri.

“Saya akan bertindak sebagai platform untuk menyampaikan masalah komuniti di Selayang sama ada keperluan prasarana dan kebajikan,” katanya.


Pengarang :