PBTSELANGOR

MPS tambah baik sistem pengurusan aduan, percepat maklum balas pengadu

Oleh Faizal Nazaruddin

SHAH ALAM, 9 JAN: Warga Selayang yang mahu membuat pengaduan awam kepada Majlis Perbandaran Selayang menggunakan menggunakan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA-MPS).

Pihak berkuasa tempatan itu berkata SISPAA-MPS kini dijadikan sebagai medium menguruskan aduan awam bermula 1 Januari lalu bagi menggantikan sistem STARS MPS sebelum ini.

“Penggunaan SISPAA-MPS ini akan mencapai objektif utama pengurusan aduan awam iaitu mempercepatkan dan memudahkan proses penyampaian maklum balas kepada pengadu,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Melalui sistem baharu itu, jelas MPS orang ramai boleh membuat aduan, mengemukakan pertanyaan, menyampaikan cadangan dan menyemak maklum balas aduan dengan melayari portal SISPAA-MPS di https://mps.spab.gov.my.

“Antara kaedah pengguna SISPAA-MPS iaitu pengguna perlu melayari laman sesawang mps.spab.gov.my dan memilih aduan atau maklum balas baharu.

“Pengguna perlu isi maklumat dan memuat naik dokumen sesuatu aduan dan nombor rujukan akan diberi untuk semakan,” ujarnya.

Sebarang pertanyaan hubungi Bahagian Pengaduan Awam, Jabatan Korporat MPS di talian 1800-222-677 / 03-6126 5831.


Pengarang :