Yang Dipertua Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain ketika majlis angkat sumpah menerima jawatan bagi penggal 2023 di Bilik Semarak Majlis Perbandaran Sepang pada 3 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPSepang: Pasar, dewan komuniti antara kemudahan awam dibina tahun ini

SEPANG, 4 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menaik taraf dan membina beberapa infrastruktur termasuk menaik taraf longkang bagi mengurangkan risiko banjir.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata antara kemudahan yang akan dibina ialah pasar awam di Sungai Pelek dengan peruntukan RM12 juta dan dewan di Kota Warisan (RM4 juta).

“Selain itu, peruntukan RM500,000 turut disediakan untuk menaik taraf kelab komuniti selain dana RM1 juta untuk menaik taraf longkang bagi mengurangkan risiko banjir di Putra Prima.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan membina menara MPSepang yang mana lokasinya akan dimaklumkan dan melakukan kerja-kerja penyediaan dokumen awalan dengan kos RM20 juta,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) sebagai ahli majlis MPSepang melibatkan seramai 23 individu bagi penggal 2023.

Pada masa sama, Abd Hamid memaklumkan selain Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), terdapat juga projek  berimpak tinggi merangkumi keluasan 3,307 ekar sedang di bina dan dalam proses kelulusan.

“Ianya melibatkan pembangunan perumahan, komersil dan industri antaranya pembinaan kilang sarung tangan, Hartalega NGC Sdn Bhd (97 ekar) dan pembinaan perumahan di Bandar Serenia Fasa 3 (666 ekar).

“Ini semua akan memberi impak kepada pembangunan di Sepang pada masa akan datang,” katanya.

IDRISS merupakan antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai lalu bagi membangunkan Sepang dan Kuala Langat dengan peruntukan RM1 trilion.


Pengarang :